Monday, April 21, 2008

PETUA MEMIKAT HATI GURU


Salah satu petua memikat hati guru anda ialah satu petua yang selalu anda dengar, ‘hormati guru anda’. Namun, berapa ramaikah anak murid yang benar-benar menghormati guru mereka?

Kebanyakan pelajar agak kurang pasti apa maksudnya menghormati guru ini. Adakah ia bermaksud anda mesti dengar semua cakap guru anda walaupun ia tidak betul? Adakah anda perlu menerima bulat-bulat apa yang mereka katakan? Adakah anda mesti setuju dengan semua tindakan mereka dan jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang mereka lakukan?

Begini, kita perlu lihat petua ini dari satu sudut yang mudah. Kita perlu menghormati guru kita seperti kita menghormati seseorang yang pernah terhutang budi. Jika ada seseorang yang pernah menolong anda ketika anda benar-benar dalam keadaan susah, bagaimanakah cara anda melayan orang itu? Tentu dengan baik sekali bukan?

Begitu juga dengan guru. Selain daripada ibu bapa, guru adalah insan yang utama yang paling berbudi kepada kita. Kalau guru saya tidak mengajar saya matematik dengan betul sewaktu saya dalam darjah satu dahulu, sudah tentu saya masih tidak pandai mengira sekarang. Tentu anda setuju.

Jadi, apa yang perlu anda lakukan untuk menunjukkan rasa hormat kepada guru anda?

PERTAMA :Paling mudah, beri perhatian apabila guru anda bercakap sama ada di dalam kelas atau semasa dia sedang bercakap dengan anda. Jangan ambil hati teguran mereka walaupun ia mungkin berbunyi kasar dan menyakitkan hati. Saya percaya guru anda tidak ada langsung niat buruk dengan kata-kata mereka.

KEDUA : Ceriakan diri anda semasa guru anda sedang mengajar dalam kelas. Duduk seperti seorang pelajar ceria yang seronok berada dalam kelas. Jika anda kelihatan, guru anda akan rasa anda tidak suka kepadanya atau tidak suka apa yang diajarnya. Ini juga akan membuat mereka rasa anda tidak hormat kepadanya. Bayangkan rungutan guru yang berbunyi?begini, “Huh, budak tu, bila saya masuk kelas nak mengajar je mula la dia tunjuk muka bosan. Buat tak tahu je bila saya masuk kelas. Tak ada rasa hormat langsung!’.

KETIGA : Gunakan suara dan intonasi yang berbunyi mesra. Kadangkala pelajar tidak sedar bahawa gaya mereka bercakap berbunyi agak biadab dan tidak sopan. Ini disebabkan oleh tabiat bercakap yang tidak baik setiap hari. Tanya kawan anda sama ada cara anda bercakap berbunyi sopan atau biadab. lebih baik lagi, tanya guru anda sendiri sama anda pernah bercakap dengan nada yang tidak sesuai dengan mereka.

KEEMPAT : Tanya soalan jika anda tidak faham. Jika selepas bertanya soalan di dalam kelas dan anda masih tidak faham, cari peluang untuk berjumpa dengan guru anda secara bersemuka. Selalunya, anda akan belajar dengan lebih baik apabila mendapat perhatian penuh daripada guru anda. Dalam masa yang sama, guru anda akan rasa anda benar-benar mahu belajar dan suka belajar daripadanya.

KELIMA : Jangan bergurau berlebihan dengan guru anda. Tidak salah bergurau dengan seorang guru tetapi anda tidak boleh samakan bergurau dengan guru dan bergurau dengan kawan. Ia akan kelihatan biadab dan mungkin menjatuhkan air muka guru atau membuat mereka tersinggung.

Satu kelebihan jika anda menghormati orang lain tidak kira mereka guru atau tidak. Ingat, jika anda hormat orang lain, orang lain juga akan hormati anda. Jika anda mahu dihormati, anda mesti menghormati orang terlebih dahulu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...